
‘Tak mungkin sekali operasi masalah sampah haram selesai’– Ketua Kampung Dengkil
DENGKIL – Aktiviti pembuangan sampah haram di sekitar kawasan Dengkil didakwa masih berleluasa walaupun beberapa operasi penguatkuasaan telah dijalankan sebelum ini.
Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, kegiatan tersebut bukan sahaja terus aktif malah dilakukan secara terbuka dengan penggunaan jentera berat termasuk traktor.
“Mereka siap bawa traktor untuk alihkan longgokan sedia ada sebelum membakarnya pada waktu petang. Tujuannya adalah untuk memberi laluan kepada lambakan sampah baharu yang akan masuk pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune hari ini.
Menurutnya, lori berdaftar dengan nombor pendaftaran VDH 1449 didakwa antara yang kerap keluar masuk ke lokasi terbabit tanpa rasa bersalah, malah tindakan membuang sampah dilakukan secara terang-terangan.
Tambah beliau, penduduk kampung mula merasa muak kerana terpaksa menghidu bau asap yang kuat hampir setiap malam.
“Penguat kuasa tidak boleh hanya mendakwa isu itu selesai selepas satu kali operasi. Kemasukan lori berlaku setiap hari. Ini jelas menunjukkan keperluan pemantauan yang berterusan dan bukan bersifat sementara,” ujarnya.
Al Rasyid turut mencadangkan agar pemantauan berjadual dijalankan setiap hari selama sebulan menggunakan bantuan dron atau kamera litar tertutup (CCTV), selain pemantauan secara langsung dari bilik kawalan.
“Malah, ada penduduk sendiri yang menggunakan dron untuk pantau. Bila malam, mereka sanggup turun padang kerana bau asap terlalu kuat,” katanya.
Menurut beliau lagi, kegiatan itu dipercayai didalangi sindiket yang tersusun melibatkan pemandu lori dan individu bermotosikal yang bertindak sebagai penjaga pintu masuk.
Beliau menegaskan pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta Jabatan Alam Sekitar perlu menjalankan pemantauan secara lebih serius dan konsisten.
“Saya harap pihak berkuasa tidak lagi mengambil pendekatan ‘hangat-hangat tahi ayam’. Kalau serius, tangkap sahaja lori terbabit dan batalkan terus lesen mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Al Rasyid turut mencadangkan agar semasa operasi dijalankan, telefon bimbit individu yang ditahan turut diperiksa.
“Saya syak ada kumpulan WhatsApp yang digunakan untuk mengatur gerak kerja pembuangan sampah haram itu,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |