
Syarikat telco ikrar lindungi data pelanggan menerusi inisiatif bersama MCMC
KUALA LUMPUR – Empat syarikat telekomunikasi utama negara iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan U Mobile masing-masing menegaskan komitmen mereka terhadap perlindungan data pelanggan.
Ia susulan pembabitan dalam inisiatif penyerahan data telefon bimbit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, kesemua syarikat tersebut mengesahkan bahawa penyertaan mereka dalam inisiatif itu selaras dengan kehendak peraturan sedia ada dan dilakukan secara bertanggungjawab dengan jaminan maklumat pengguna akan terus dilindungi.

Sementara itu, CelcomDigi pula menegaskan bahawa mereka kekal komited terhadap pematuhan rangka kerja keselamatan data dan privasi, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
“Kami hanya berkongsi data apabila diperlukan oleh undang-undang dan hanya dengan pihak yang diberi kuasa.
“Kami memastikan bahawa sebarang perkongsian data akan melalui proses yang ketat dan kawalan keselamatan yang menyeluruh,” katanya.

Maxis pula menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bertujuan untuk memperkukuh pengumpulan data yang menyokong perancangan dasar digital negara.
“Kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa sebarang maklumat yang dikongsi dengan MCMC tidak mengandungi maklumat data peribadi yang boleh mengenal pasti individu.
BACA : Data telefon bimbit dikumpul bagi tujuan statistik dasar MCMC
“Malah, Maxis akan terus mematuhi semua peraturan privasi yang relevan,” ujar kenyataan tersebut.
TM dalam kenyataannya pula menyatakan mereka menyokong inisiatif yang bertujuan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia.
“Penyerahan data ini dilakukan secara agregat dan dianonimkan tanpa melibatkan sebarang maklumat peribadi pelanggan,” kata syarikat itu sambil menekankan komitmen terhadap tadbir urus data yang baik.
Sementara itu, U Mobile berkata, mereka hanya terlibat dalam penyerahan data dalam bentuk agregat tanpa sebarang butiran peribadi pengguna.
“Kami memahami kebimbangan pelanggan dan ingin menegaskan bahawa perlindungan data kekal sebagai keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Inisiatif penyerahan data telefon bimbit kepada MCMC mencetuskan perbincangan dalam kalangan orang awam, terutama apabila melibatkan isu privasi dan keselamatan siber.
BACA : Keperluan data tidak semestinya tindakan pencerobohan data peribadi
Namun, kenyataan bersama daripada syarikat-syarikat telco ini ternyata memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa data mereka tidak akan disalahgunakan.
Kesemua penyedia perkhidmatan itu juga memberi jaminan mereka akan terus memantau dan menilai sebarang permintaan data bagi memastikan ia sejajar dengan undang-undang serta prinsip integriti dan tanggungjawab.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |