
Suspek tipu pakej haji direman empat hari
SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 60 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang mendakwa dikurung di Arab Saudi baru-baru ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Suspek sebelum itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam sebaik tiba bersama kumpulan jemaah yang telah selamat pulang ke tanah air.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki tersebut disyaki menjadi ejen kepada pakej haji yang ditawarkan dan telah menyebabkan mangsa mengalami pelbagai kesukaran ketika berada di Arab Saudi.
“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan suspek dan sekiranya terdapat individu atau organisasi lain yang turut terlibat dalam kes ini,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, jemaah haji terdiri daripada warga emas, mendakwa terpaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen ke Mekah selepas tiba di Jeddah.
Mereka turut mendakwa dikurung di dalam bilik gelap dan sempit serta diminta membuat bayaran tambahan lebih RM9,000 untuk mendapatkan semula barangan peribadi mereka, walaupun telah membayar sekitar RM30,000 kepada agensi berkenaan sebelum berangkat.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan bahawa suspek dipercayai terlibat dalam kes melibatkan tiga beranak dari Mantin, berusia lingkungan 30-an hingga 60-an.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa yang terlibat,” katanya.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kerugian setakat ini dianggarkan sebanyak RM81,000, melibatkan bayaran sekitar RM27,000 bagi setiap individu.
“Kita menyeru orang ramai, khususnya mangsa yang mungkin terlibat dalam penipuan ini agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |