
Surau R&R Seremban dibenar dirikan solat Jumaat
SEREMBAN – Surau MADANI di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini kini dibenarkan mendirikan solat Jumaat selepas mendapat kelulusan Mufti Negeri Sembilan.
Memetik laporan BH Online, surau lelaki itu yang boleh memuatkan 150 jemaah dalam satu-satu masa menjadi surau R&R pertama di mana-mana lebuh raya di negara ini dibolehkan berbuat demikian.
Pengisytiharan kelulusan mendirikan solat Jumaat itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis hari ini.
Faudzinaim berkata, selain pekerja di kawasan R&R berkenaan, pengguna lebuh raya menuju ke arah selatan juga boleh singgah di situ menggunakan kemudahan di sediakan termasuk bersolat Jumaat.
“Sebelum beri kebenaran ini, saya secara peribadi bertanya kepada pekerja di sini, merisik untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku di kawasan ini tanpa memperkenalkan diri.
“Saya tanya di mana mereka bersolat Jumaat. Antara jawapan diberikan adalah sebahagian mereka tidak pergi solat Jumaat kerana tidak sempat, sebab jauh untuk pergi dan balik,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai keperluan untuk mengadakan solat Jumaat di surau R&R Seremban, Faudzinaim berkata ia adalah wajib kepada pekerja beragama Islam di situ.
“Kita lihat ada keperluan, ada hajat yang perlu dipenuhi bagi golongan pekerja di sini. Oleh kerana itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan berasakan ada keperluan memberikan solat jumaat secara sementara di kawasan ini,” katanya.
Faudzinaim berkata, dalam masa sama dengan adanya kemudahan itu kelak, ia akan mendekatkan umat Islam dengan Allah walaupun sedang berjalan-jalan, bercuti atau bekerja.
“Ini adalah kebenaran solat Jumaat pertama di kawasan R&R. Kita mengharapkan dengan kebenaran ini, ia akan memberi keselesaan kepada umat Islam yang sentiasa berada atas lebuh raya,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |