
Surau al-Fateh, Akademi Kenegaraan Malaysia anjur majlis berbuka puasa
SEREMBAN – Surau al-Fateh di Bandar Tasik Senangin, Mantin di sini semalam menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Akademi Kenegaraan Malaysia dalam usaha memperkukuh ukhuwah dan semangat komuniti Madani dalam kalangan kariah setempat.
Majlis Tautan Mesra itu dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Surau al-Fateh yang menekankan kepentingan kerjasama antara institusi keagamaan dan badan akademik dalam membentuk masyarakat yang bersatu dan berilmu.
Dalam pada itu, Pegawai Latihan Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sembilan, Muhamad Ikram Radzuan berkata, surau memainkan peranan penting sebagai pusat penyatuan komuniti dan menanamkan nilai kenegaraan dalam masyarakat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar lebih banyak program kerjasama seperti ini dapat dilaksanakan demi pembangunan komuniti yang berteraskan prinsip Malaysia Madani.
“Enam nilai teras Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan progresif,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Sementara itu, majlis itu turut diserikan dengan jamuan berbuka puasa yang ditaja oleh Akademi Kenegaraan Malaysia, di mana tetamu, ahli kariah, dan wakil akademi berpeluang berinteraksi serta bertukar pandangan dalam suasana mesra.

Program itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara surau dan institusi akademik tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman terhadap nilai kenegaraan dalam kehidupan bermasyarakat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |