
Sumbangan peranti elektronik Kementerian Digital beri kelegaan kepada penuntut IPT
SUBANG JAYA – Mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kementerian Digital yang menyalurkan sumbangan peranti elektronik bernilai kira-kira RM300,000 bagi meringankan beban mereka.
Penerima sumbangan, Nur Farahani Faizal yang merupakan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, menzahirkan rasa syukur atas bantuan komputer riba yang diterimanya.
Pelajar berusia 22 tahun yang mengikuti pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi dan Media itu menyifatkan sumbangan tersebut membantu meringankan beban dan memudahkannya meneruskan pengajian dengan lebih lancar.
“Sumbangan laptop ini mampu kurangkan beban saya sebagai seorang pelajar untuk saya buat tugasan-tugasan saya akan datang,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Terdahulu, Kementerian Digital telah menyalurkan sumbangan berupa peranti elektronik bernilai kira-kira RM300,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, di sini hari ini.
Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), inisiatif ini diterajui oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Digital, termasuk MDEC, MyDigital Corporation, dan Digital Nasional Berhad (DNB).
Antara peranti elektronik yang disumbangkan termasuk 500 unit bank kuasa, 150 unit bag sekolah dan alat tulis, 100 unit tablet, 138 unit komputer riba, empat unit mesin cetak, serta pelbagai barangan lain.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil serta barisan pengurusan tertinggi penyumbang di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini.
Antara pemberi sumbangan barangan peranti elektronik itu termasuk MDEC, Payments Network Malaysia (PayNet), Kiddocare Sdn Bhd, Huawei Malaysia, PIKOM, Sri Computers Sdn Bhd, Dell Technologies, Jirnexu Malaysia Sdn Bhd, Lenovo Malaysia, Ant International, Acer Malaysia serta penderma-penderma persendirian.

Sementara itu, bagi seorang lagi penerima sumbangan, Muhammad Akmal Hassan, 21, bantuan yang diterima dianggap tepat pada masanya akibat bencana kebakaran yang dialami oleh keluarganya.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan semua pihak, khususnya Menteri Besar Selangor yang sentiasa mengambil berat nasib kami.
“Sumbangan ini benar-benar meringankan beban dan memberi semangat untuk saya terus fokus dalam pelajaran,” katanya yang juga pelajar jurusan Pengurusan Industri Halal Universiti UiTM Shah Alam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |