Berita Semasa

Sumbangan Asas Rahmah menerusi MyKad diperluas ke Sabah, Sarawak – MOF

KUALA LUMPUR – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi tahun ini, berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan akan mula menyalurkan SARA bermula esok kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

“Mekanisme seragam itu adalah penambahbaikan daripada tahun lalu iaitu penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima bantuan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024.

“Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar iaitu sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaat dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.

“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.

“Kerajaan Madani komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA bermula April ini, yang terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.

“Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan. Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.

“Bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas,” tambah kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MOF turut menasihatkan penerima SARA supaya berwaspada dengan pautan tidak sahih bagi merujuk maklumat mengenai program berkenaan.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR menerusi pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my/ bermula 15 Januari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button