BERITA SEMASA

Sultan Selangor titah Jawatankuasa Fatwa Negeri putuskan jika GISBH bercanggah dengan Islam

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengkaji bagi memutuskan sama ada ajaran GISB Holding Sdn. Bhd. (GISBH) menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Baginda bertitah, semua pihak khususnya pihak berkuasa agama perlu memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH.

“Ini terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.

“Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” titahnya.

Baginda bertitah demikian menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Sultan
Sharafuddin melahirkan rasa kesal dan kecewa memandangkan kegiatan kumpulan GISBH telah berlanjutan untuk suatu tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam yang berkaitan dengan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

Justeru itu, baginda menitahkan supaya semua agensi agama Islam Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

Titah Sultan Sharafuddin, baginda tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai ‘tin kosong’ yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.

Terdahulu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa lalu menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button