BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sultan Perak berkenan ziarah pusara Tun Abdullah

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menziarahi pusara Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan Masjid Negara, di sini hari ini.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara meluangkan masa kira-kira 30 minit di makam berkenaan dengan menyertai bacaan tahlil yang diketuai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni sebelum menabur bunga serta menyiram air mawar ke pusara Allahyarham, memetik laporan Bernama.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta anak-anak Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin dan Nori.

Selesai menziarahi pusara Perdana Menteri itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian menziarahi kubur bekas pemimpin negara lain yang disemadikan di Makam Pahlawan termasuk Tun Hussein Onn, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Abdul Ghafar Baba dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, 14 April lepas pada usia 85 tahun.

Allahyarham yang mesra disapa Pak Lah dikenang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan berintegriti tinggi.

Beliau memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, meninggalkan legasi yang besar dalam pembangunan negara termasuk inisiatif seperti NCER, J-QAF, dan industri halal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button