
Wirtz Sah sertai Liverpool, pecah rekod perpindahan termahal EPL
LIVERPOOL – Liverpool mengesahkan pembelian pemain tengah sensasi Jerman, Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen dalam satu perpindahan mega yang bakal menjadi paling mahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 22 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh kelab awal pagi tadi dengan laporan di England menyebut bayaran awal perpindahan mencecah £100 juta (RM572 juta), sekali gus mengatasi rekod pembelian terdahulu The Reds.
Difahamkan, nilai itu boleh meningkat hingga £116 juta (RM663 juta) berdasarkan pencapaian, manakala media Jerman melaporkan angka lebih tinggi iaitu bermula 130 juta euro (RM637 juta) dan mampu mencecah 150 juta euro (RM735 juta) dengan pelbagai tambahan lain.
Wirtz, yang membantu Leverkusen merangkul kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman musim lalu tanpa kalah dalam saingan domestik, menyifatkan perpindahan itu sebagai langkah besar dalam kariernya.
“Saya amat teruja untuk memulakan satu perjalanan baharu. Saya mahu keluar dari Bundesliga dan mencuba cabaran Liga Perdana Inggeris bersama kelab besar seperti Liverpool.
“Musim lalu mereka bergelar juara EPL, jadi sudah tentu sasaran saya adalah mahu memenanginya lagi dan mencabar Liga Juara-Juara. Saya datang dengan cita-cita besar,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi kelab.
Wirtz pernah mendapat pujian tinggi daripada bekas jurulatihnya, Xabi Alonso yang kini mengendalikan Real Madrid, dan pernah menyifatkan pemain itu sebagai antara “yang terbaik di dunia”.
Musim lalu, Wirtz bukan sahaja dinobat sebagai Pemain Terbaik Bundesliga, malah menjadi tonggak utama ketika Leverkusen hampir mencipta sejarah treble, namun impian itu digagalkan Atalanta dalam final Liga Europa dan satu-satunya kekalahan mereka sepanjang musim.
Perpindahan itu juga menjadikan Wirtz sebagai nama besar kedua yang berpindah dari Leverkusen ke Anfield selepas Jeremie Frimpong disahkan menyertai skuad kendalian Arne Slot bulan lalu.
Slot yang dilantik menggantikan Jürgen Klopp kini dilihat aktif memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu, termasuk memburu kejuaraan Liga Perdana ke-21 kelab itu.
Liverpool turut dijangka melengkapkan perpindahan bek kiri Bournemouth, Milos Kerkez bernilai £40 juta (RM228 juta) dalam masa terdekat.
Selain itu, kelab Merseyside itu juga dikaitkan dengan dua lagi pemain EPL iaitu penyerang Newcastle, Alexander Isak dan pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |