Sukan

Russell Martin dipecat selepas kekalahan memalukan Southampton

SOUTHAMPTON – Pasukan bolasepak Southampton mengambil keputusan memecat pengendali mereka, Russell Martin, susulan kekalahan memalukan 5-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri.

Kekalahan itu menyaksikan Spurs meledak lima gol dalam babak pertama, sekaligus mengekalkan Southampton di tangga tercorot liga dengan hanya lima mata selepas 16 perlawanan.

Dalam kenyataan rasmi, Southampton menegaskan keputusan dibuat selepas mempertimbangkan prestasi semasa pasukan.

“Realiti situasi kami sangat jelas. Pengurusan kelab menyokong Russell dan kakitangannya, namun kami juga sependapat bahawa keputusan yang lebih baik diperlukan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Russell atas dedikasi dan kerja keras beliau sepanjang 18 bulan lalu,” menurut kenyataan tersebut.

Martin, 38, yang dilantik pada Jun 2023, berjaya membawa Southampton kembali ke Liga Perdana Inggeris melalui aksi play-off musim lalu.

Namun, prestasi hambar dengan 13 kekalahan daripada 16 perlawanan musim ini menjadi punca utama pemecatan beliau.

Kekalahan kepada Tottenham juga mencetuskan reaksi negatif penyokong, dengan Martin dicemuh sebelum meninggalkan padang awal untuk masuk ke bilik persalinan.

Martin merupakan pengendali kedua dipecat dalam tempoh 24 jam selepas Gary O’Neil dari Wolverhampton Wanderers turut mengalami nasib sama.

Secara keseluruhan, empat pengendali Liga Perdana Inggeris telah dipecat musim ini, termasuk Steve Cooper (Leicester City) dan Erik ten Hag (Manchester United).

Southampton kini berada dalam tekanan tinggi untuk mencari pengganti Martin bagi mengubah nasib pasukan mereka di liga tertinggi England.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button