SUKAN

Putera Adam raih podium berganda di Belgium

KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Putera Adam Halim terus mencipta sensasi apabila meraih dua podium dalam Siri Ketiga Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah yang berlangsung di litar ikonik Spa Francorchamps, Belgium.

Kejayaan itu menyusul selepas sejarah dicipta bulan lalu apabila Putera Adam menjadi pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan Lamborghini Super Trofeo di Monza, Itali.

Dalam perlumbaan hujung minggu lalu, Putera Adam yang bergandingan dengan pelumba Perancis, Paul Levet mewakili pasukan Vincenzo Sospiri Racing (VSR), menamatkan kedua-dua Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 di tempat kedua dan ketiga.

“Pada Perlumbaan 1, saya bermula di petak keempat dan terpaksa bekerja keras mengekalkan kedudukan selepas berdepan kemalangan kecil di awal perlumbaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.

Meskipun jentera VSR mengalami masalah teknikal, pelumba berusia 19 tahun itu kekal konsisten sehingga berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Dalam Perlumbaan 2 pula, Putera Adam hampir tersingkir apabila terpaksa mengelak pelumba lain, menyebabkan dia ketinggalan jauh.

Namun semangat juangnya tidak pudar apabila berjaya memintas beberapa jentera dan naik ke posisi ke-10 sebelum menyerahkan tugas kepada Levet dalam hentian pit.

Taktik pasukan VSR membuahkan hasil apabila beberapa insiden kemalangan membolehkan mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Pusingan seterusnya Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Eropah dijadual berlangsung di litar Nurburgring, Jerman dari 29 hingga 31 Ogos ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button