Perak FC tarik diri dari Liga Super musim depan akibat krisis kewangan
KUALA LUMPUR – Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC secara rasmi menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan berikutan masalah kewangan yang semakin meruncing.
Perkara itu disahkan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi dalam satu kenyataan kepada BH Sukan, hari ini.
Beliau meluahkan rasa berat hati atas keputusan tersebut setelah pelbagai usaha dilakukan untuk menghidupkan semula kegemilangan skuad The Bos Gaurus (TBG).
“Kami bermula dengan impian besar untuk membina sesuatu yang mampan dan boleh dibanggakan rakyat Perak.
“Namun, realitinya, sokongan yang kami perlukan tidak berkembang seperti yang diharapkan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Azim, sejak mengambil alih kelab tiga tahun lalu, pengurusan baharu telah menyelesaikan hutang gaji berjumlah hampir RM8 juta dan membelanjakan hampir RM40 juta untuk membangunkan kelab.
Namun dana dalaman kini telah habis, manakala sokongan daripada sektor awam dan swasta tidak memadai untuk meneruskan kelangsungan kelab.
Beliau turut menjelaskan, selepas ini operasi kelab akan diteruskan dalam skala kecil untuk menjual baki barangan rasmi kelab demi mengumpul dana bagi melunaskan tunggakan gaji pemain dan kakitangan.
“Apa sahaja dana yang masih ada akan digunakan untuk melunaskan hutang. Ini bukan pengakhiran yang kami impikan, tetapi kami sudah lakukan segala yang termampu,” tambahnya.
Semalam, spekulasi mengenai masa depan Perak FC mula hangat diperkatakan di media sosial sebelum ia disahkan sendiri hari ini.
Azim turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong setia yang terus memberikan sokongan sepanjang tempoh sukar ini.
“Kami akan sentiasa mengingati sorakan anda, rasa bangga dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya.
Dengan pengumuman itu, perjalanan penuh bersejarah Perak FC dalam Liga Super secara rasmi berakhir, meninggalkan legasi yang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






