Penganjur acara sukan wajib dapat kelulusan badan induk – Adam Adli
PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menegaskan setiap penganjur acara sukan perlu mendapatkan kelulusan atau sanction letter daripada badan induk sukan masing-masing sebelum sesuatu acara dianjurkan.
Beliau berkata, pihak kementerian mendapati semakin banyak acara sukan dianjurkan secara bebas tanpa memaklumkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau badan induk yang berkaitan.
“Kebanyakan acara ini tetap berjalan tanpa kebenaran rasmi dan kita hanya menerima laporan selepas acara selesai. Penganjur sepatutnya berhubung dengan badan induk masing-masing untuk dapatkan kelulusan.
“Di peringkat KBS, kita tidak mengeluarkan sanction letter kerana itu bukan bidang kuasa kita. Namun kita boleh beri peringatan kepada penganjur agar tidak melanggar peraturan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Adam berkata, KBS hanya mempunyai dua langkah dalam menangani isu tersebut iaitu memberi peringatan kepada penganjur serta memperkukuhkan komunikasi dengan persatuan dan badan induk sukan.
“Kita mahu persatuan dan badan induk ini mempertingkatkan peranan mereka dalam penganjuran acara supaya semua garis panduan dipatuhi, termasuk aspek keselamatan, piawaian teknikal dan syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengakui ada penganjur yang hanya memaklumkan acara mereka kepada pihak berkuasa tempatan tanpa melibatkan badan induk sukan.
“Selepas ini kita mungkin akan bekerjasama lebih rapat dengan pihak berkuasa tempatan supaya sebarang acara sukan yang mahu dianjurkan perlu mendapat pengesahan daripada badan induk terlebih dahulu,” katanya lagi.
Adam menegaskan, KBS tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan melampaui bidang kuasa sedia ada.
“Jika sebelum acara berlangsung kita tahu tiada kelulusan, barulah kita boleh bertindak. Tetapi kalau acara sudah pun dianjurkan, tindakan kita hanya terhad kepada memberi amaran atau peringatan,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Sukan, Mohsinar Abdul Malek turut mengakui masih banyak acara sukan, termasuk bertaraf antarabangsa, yang dianjurkan di dalam negara tanpa kelulusan rasmi atau sanction daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
“Jika penganjur adalah syarikat, mereka memerlukan lesen daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk memulakan aktiviti. Bagi badan sukan, lesen tidak diperlukan, tetapi mereka tetap perlu mendapatkan kelulusan daripada badan induk masing-masing.
“Sepatutnya badan induk yang perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ada acara dijalankan tanpa kebenaran.
“Tetapi kalau program itu sudah selesai, kita tidak boleh buat apa-apa kerana kuasa penguatkuasaan langsung tidak terletak di bawah kami,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Menurut beliau, Pejabat Pesuruhjaya Sukan hanya boleh bertindak selepas menerima laporan rasmi daripada pihak berkuasa atau badan berkaitan sebelum tindakan lanjut, termasuk menghentikan sesuatu acara, dapat diambil.
“Kami sedar banyak penganjuran tidak sah ini berlaku. Jadi fokus utama kami ialah memberi penerangan dan mengingatkan penganjur tentang keperluan undang-undang.
“Misalnya ada yang perlu memohon lesen, ada yang perlu mendapatkan kelulusan menteri, khususnya bagi acara bertaraf antarabangsa.
“Buat masa ini fokus kami ialah pendidikan, tetapi jika perlu kita akan laporkan kepada polis atau pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menghentikan program,” jelasnya lagi.
Mohsinar menegaskan, langkah memberi kesedaran kepada penganjur adalah pendekatan utama agar mereka mengetahui prosedur betul sebelum menganjurkan sesuatu acara sukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








