SUKAN

Malaysia raih emas pertama Sukan SEA Thailand melalui hoki 5s

BANGKOK – Kontinjen negara berjaya meraih pingat emas pertama di temasya Sukan SEA Thailand dalam acara hoki 5 sebelah (5s) lelaki selepas menewaskan Indonesia 7-3 pada aksi di Stadium Hoki Royal Thai Airforce (RTAF), hari ini.

Kejayaan itu mencatat sejarah buat skuad negara memandangkan ia adalah kali pertama acara tersebut dipertandingkan pada kejohanan sukan dwitahunan itu.

Malaysia mendahului dengan cemerlang 3-0 pada babak pertama hasil jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran pada minit ke-7, 8 dan 14.

Babak kedua menyaksikan skuad negara menambah empat gol lagi melalui Akhimullah pada minit ke-17 dan 29 serta jaringan Muhammad Abid dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit terakhir perlawanan.

Indonesia pula membalas dengan tiga gol melalui Mochamad Fathur pada minit ke-19 dan Alfandy Prastyo menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-24.

Ketua jurulatih Malaysia, Wan Roslan Wan Abdul Rahman melahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak buahnya terutama kerana ia berjaya menyumbang pingat emas pertama negara dan mencipta sejarah bagi hoki 5s di Sukan SEA.

“Pertama sekali syukur Alhamdulillah. Saya amat berbangga kerana hoki 5s berjaya menyumbang pingat emas kepada negara dan kami juga melakar sejarah kerana acara ini kali pertama dipertandingkan di Sukan SEA.

“Saya cukup yakin pemain boleh mencapai keputusan baik kerana prestasi mereka cukup konsisten sejak perlawanan peringkat awal,” katanya memetik laporan BH Online.

Wan Roslan turut menekankan sumbangan pemain berpengalaman yang beraksi di Piala Dunia banyak membantu pemain baharu menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan.

Sebelum menundukkan Indonesia, skuad negara mempamerkan prestasi dominan pada aksi separuh akhir menentang Filipina dengan kemenangan 9-1 serta menamatkan peringkat round robin dengan rekod bersih membelasah Indonesia 4-2, menewaskan Filipina 18-0 dan menumpaskan Thailand 9-1.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button