SUKAN

Liverpool tamat rentetan kekalahan dengan gaya, Szoboszlai lengkap kemenangan 5-1 di Frankfurt

FRANKFURT – Liverpool kembali menemui rentak kemenangan dengan penuh bergaya selepas membelasah Eintracht Frankfurt 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Arne Slot itu menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut.

Liverpool bermula goyah di Jerman apabila bekas pertahanan Leeds United, Rasmus Kristensen membuka tirai jaringan buat Frankfurt. Namun, skuad The Reds kembali menyerlah selepas itu.

Hugo Ekitike, yang diturunkan bersama penyerang baharu berstatus rekod Britain, Alexander Isak buat kali pertama, menyamakan kedudukan 10 minit sebelum rehat selepas menyempurnakan hantaran jauh Andy Robertson dengan penyudah tenang.

Kebangkitan Liverpool diteruskan empat minit kemudian apabila kapten Virgil van Dijk menanduk masuk gol kedua hasil sepakan sudut, sebelum Ibrahima Konate menambah gol ketiga seminit sebelum separuh masa pertama tamat, turut melalui situasi bola mati.

Isak tidak kembali beraksi pada separuh masa kedua selepas mengalami kecederaan pangkal paha, menurut Slot dalam sidang media selepas perlawanan.

Walaupun kehilangan penyerang utama itu, Liverpool terus menguasai permainan dengan dua lagi jaringan pada babak kedua.

Cody Gakpo menambah jaringan keempat selepas menerima hantaran kemas Florian Wirtz, sebelum Dominik Szoboszlai melengkapkan pesta gol dengan rembatan jarak jauh juga hasil umpanan Wirtz.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menamatkan rentetan kekalahan Liverpool, malah memberi suntikan moral penting kepada skuad The Reds menjelang aksi seterusnya dalam saingan domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button