Langkah Tang Jie–Ee Wei terhenti di suku akhir Terbuka China
CHANGZHOU – Hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China tidak kesampaian apabila tewas di tangan pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, sebentar tadi.
Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, gandingan nombor empat dunia itu tewas dalam straight set 19-21, 15-21 sekali gus menamatkan kempen mereka di kejohanan tersebut.
Aksi kurang konsisten terutama pada set kedua serta beberapa kesilapan mudah memberi ruang kepada pasangan China itu mengutip mata penting, meskipun pasangan negara cuba bangkit dalam kedua-dua set permainan.
“Kami cuma tewas dari segi pukulan balas. Mereka memperoleh banyak mata daripada situ.
“Selain itu, saya rasa kami bermain dengan baik dalam perlawanan ini,” kata Tang Jie memetik laman rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas lanjut, beliau tidak menyalahkan keadaan gelanggang yang berangin, sebaliknya menyifatkan ia sebagai cabaran yang perlu ditangani secara taktikal.
“Mengenai gelanggang berangin, saya fikir ia adil untuk semua pemain. Mungkin kami sendiri perlu fikir cara terbaik untuk menguruskan situasi seperti itu,” katanya lagi.
Selepas penyingkiran di Terbuka China, ‘Gangster Duo’ itu kini akan mengalihkan fokus kepada Kejohanan Terbuka Macau yang dijadual berlangsung dari 29 Jun hingga 3 Julai.
Selain itu, mereka turut giat membuat persiapan rapi menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos depan.
“Apa yang perlu diperbaiki adalah mengekalkan fokus sekiranya bermain secara rali panjang. Saya fikir aspek itu sangat penting untuk kami berdua,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








