SUKAN

Lain dijangka lain yang tiba, Facundo Garcés bakal perkuat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kehadiran Facundo Garcés yang akan memperkuatkan skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Menurut FAM, Garcés merupakan pemain pertahanan tengah yang bermain dalam La Liga bersama pasukan Deportivo Alaves di Sepanyol. 

“Pemain berusia 25 tahun ini membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan yang tinggi kepada pasukan ketika Malaysia terus memperkukuh skuad bagi menjadi pasukan impian seluruh rakyat Malaysia.

“Garcés, yang pernah beraksi dalam liga utama di Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alavés dalam La Liga, telah melengkapkan semua keperluan pendaftaran dan kelayakan dan kini sedia untuk dipilih oleh ketua jurulatih Peter Clamovski,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, Facundo mempunyai perwatakan yang kuat dan seorang pertahanan yang tenang dengan personaliti yang hebat serta pengalaman di peringkat tertinggi.

“Dia sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berbangga dalam mengharumkan nama negaranya,” katanya.

Sementara itu Garcés turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.

“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan yang ikhlas dari semua.

“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami. Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” katanya.

Facundo Garcés kini telah menyertai kem latihan skuad kebangsaan sempena jendela FIFA dan akan layak untuk dipilih bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia AFC menentang Vietnam yang akan datang.

Terdahulu media melaporkan tiga pemain warisan dijangka menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan berikutnya.

Bagaimanapun nama Garces tidak termasuk dalam senarai jangkaan itu.

Mereka yang dijangka oleh media untuk menyertai Harimau Malaya ialah Rodrigo Holgado (penyerang America de Cali), Jon Irazabal (pertahanan Sabah FC Azerbaijan), dan Jefte Betancor (penyerang Olympiacos yang dipinjamkan ke Panserraikos).

Sementara itu Malaysia dijadualkan bertemua pasukan Cape Verde secara tertutup esok dan pasukan Vietnam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button