
Klinik STL 2025 tawar peluang sertai Akademi Sepak Takraw Negara
KUALA LUMPUR – Klinik Sepak Takraw League (STL) kembali untuk edisi 2025 dengan menawarkan peluang mengikuti bimbingan di Kem Latihan Asas di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia kepada peserta terbaik.
Program anjuran Astro dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu menyasarkan penyertaan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun yang mempunyai minat dan bakat dalam sukan sepak takraw.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, program itu bukan sekadar mendekatkan sukan sepak takraw kepada belia, malah membuka laluan untuk mereka merasai sendiri pengalaman latihan bertaraf profesional.
“Musim ini kami bekerjasama dengan PSM bukan hanya dalam kejohanan STL, tetapi juga dalam pembangunan bakat menerusi Klinik STL.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada CelcomDigi selaku penaja rasmi STL yang banyak membantu menjayakan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia yang dilengkapi kemudahan moden akan menjadi lokasi utama latihan intensif untuk peserta terpilih.
Mereka akan dibimbing jurulatih dan pemain kebangsaan menggunakan modul pembangunan profesional yang dirangka khas.
Pusat ini juga berperanan sebagai hab latihan negara yang bakal mencorakkan hala tuju baharu pembangunan bakat sukan sepak takraw di peringkat kebangsaan.
Edisi Klinik STL tahun ini akan berlangsung di empat lokasi utama iaitu Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pulau Pinang dan kesemua gelanggang rasmi STL Premier.
Sementara itu, pendaftaran untuk lokasi pertama di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur telah dibuka, manakala lokasi lain akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Astro, Foo Su Lynn, Klinik STL merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Astro Kasih untuk memperkasa komuniti melalui platform sukan.
“Kami percaya sukan adalah medium terbaik untuk menyatukan masyarakat dan mencungkil potensi anak muda. Inisiatif seperti Klinik STL juga selari dengan komitmen ESG Astro untuk menyokong pembangunan komuniti secara inklusif,” katanya lagi.
Selain itu, Klinik STL 2025 turut diperluas ke sekolah-sekolah terpilih di Pahang dan Terengganu bagi memberikan peluang kepada pelajar di kawasan bandar dan luar bandar menyertai program itu.
Ia turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Golongan muda tanpa mengira jantina digalakkan untuk mendaftar segera kerana tempat adalah terhad,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi klinik, orang ramai boleh mengikuti laman media sosial rasmi STL di Instagram @stl.my dan Facebook SepakTakraw League.
CelcomDigi STL 2025 kini sedang berlangsung dari 28 Mei hingga 7 September dengan semua perlawanan disiarkan secara langsung di Astro Arena, aplikasi Astro GO dan penstriman sooka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |