SUKAN

Kejohanan Belia Australia 2025 langkah penting pembangunan akar umbi – FAM

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan penyertaan skuad bawah 15 tahun negara dalam dua kejohanan belia di Australia untuk memperkukuh pembangunan akar umbi dan hubungan dua hala bersama Football Australia.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, penyertaan Malaysia dalam Emerging Matildas Championships dan Emerging Socceroos Championships 2025 mencerminkan komitmen bersama dalam membangunkan bola sepak belia di peringkat serantau.Kejohanan Belia Australia 2025 langkah penting pembangunan akar umbi - FAM

“Kami berasa amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif penting ini bersama Football Australia. Peluang untuk bertanding dalam kedua-dua kejohanan ini menunjukkan kesungguhan kita dalam memperkukuh kerjasama serantau dan komitmen terhadap pembangunan belia.

“Kejohanan ini memberikan pendedahan yang amat berharga buat bakat muda negara, dan membolehkan kami mempererat hubungan bola sepak antara Malaysia dan Australia, sebuah negara yang berkongsi visi yang sama dalam aspek pembangunan belia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, FAM sentiasa komited untuk membina laluan pembangunan yang mampan dan berstruktur dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat elit dan penyertaan dalam kejohanan seperti ini memberi peluang kepada pemain dan jurulatih negara mengalami suasana persaingan bola sepak antarabangsa yang lebih mencabar.

“Penyertaan ini bukan sekadar tentang bertanding, tetapi permulaan kepada hubungan jangka panjang antara dua badan induk bola sepak yang berkongsi matlamat serupa.

“Kami yakin kerjasama itu akan membuka lebih banyak ruang untuk pertukaran ilmu, pembangunan teknikal dan kesatuan serantau menerusi bola sepak,” katanya lagi.
Malaysia menjadi negara luar pertama dijemput menyertai kejohanan remaja itu selepas menyatakan hasrat rasmi melalui proses Permohonan Minat (EOI) yang dikendalikan Football Australia dengan sokongan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kejohanan akan berlangsung pada Julai 2025 masing-masing di Valentine Sports Park, Sydney bagi kategori perempuan dan Home of the Matildas, Melbourne untuk kategori lelaki.

Tarikh rasmi kejohanan ialah dari 6 hingga 11 Julai untuk Emerging Socceroos Championships dan 15 hingga 20 Julai bagi Emerging Matildas Championships.

Senarai pemain dan jadual perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button