SUKAN

Kedah cipta kejutan, bakal berentap dengan Melaka rebut Piala Tun Ali 2025

MELAKA – Pasukan Kedah mencipta kejutan apabila mara ke perlawanan akhir acara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 selepas menumbangkan pasukan pilihan, Negeri Sembilan dengan keputusan 15-12, 15-11 dalam aksi separuh akhir di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, malam tadi.

Gandingan mantap tekong Amar Roslan, perejam Loesak Kuram dan pengumpan Zulhusni Basri memastikan kemenangan Kedah dalam masa 55 minit menentang pasukan Negeri Sembilan yang dibarisi tiga pemain kebangsaan, Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari.

Kemenangan itu melayakkan Kedah ke pentas final menentang tuan rumah Melaka, yang turut menempah slot akhir selepas menewaskan Selangor 17-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir penuh mendebarkan.

Melaka dibarisi pemain antarabangsa Thailand, Pongsatorn Phong-udtha, bersama dua apit kebangsaan, Azlan Alias dan Zaim Razali, manakala regu Selangor menurunkan Zuhri Zain, Salman Anuar dan Jefri Ahmad.

Sementara itu, saingan kategori kuadran lelaki turut menyaksikan Perak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melangkah ke final selepas menewaskan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir petang semalam.

Perak yang diperkuat perejam muda bawah 21 tahun, Nattapong Kotchapaksri dan bekas pengumpan negara Asyraaf Hadi, menumpaskan Kementerian Pendidikan-Majlis Sukan Sekolah Malaysia (KPM-MSSM) dengan keputusan 15-9, 15-5.

ATM pula dipaksa beraksi hingga tiga set sebelum menundukkan Terengganu 15-12, 13-15, 15-12. Pasukan keselamatan itu dilabel pilihan utama menerusi gandingan dua pemain kebangsaan, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak, selain kehadiran pemain import India, Yumnam Akash, yang turut beraksi pada Piala Raja Thailand di Hatyai, Julai lalu.

Bagi kategori wanita, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah menepati ramalan apabila mara ke pentas akhir selepas mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir. PDRM menundukkan Perak 15-9, 15-4 manakala Sabah menewaskan Selangor 15-7, 15-7.

Perlawanan akhir dijadual berlangsung pagi ini di gelanggang sama dengan tiga acara menjadi tumpuan iaitu final regu wanita antara PDRM menentang Sabah, final kuadran lelaki antara Perak dan ATM, serta perlawanan regu lelaki yang menemukan Kedah dan Melaka bagi merebut gelaran juara Piala Tun Ali 2025.

Edisi kali ini dijangka menyajikan aksi sengit dengan Kedah berazam menamatkan kemarau kejuaraan manakala Melaka mahu menebus kehampaan tahun lalu di depan penyokong sendiri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button