
KBS umum syarat pelepasan cukai latihan sukan
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan untuk kegunaan manfaat diri sendiri, suami dan isteri serta anak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, yuran latihan sukan yang bakal diberi pelepasan cukai itu meliputi 103 jenis sukan diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Senaraikan sukan ini kita akan paparkan dalam laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, antara kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai adalah latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus dan bengkel.
Selain itu, katanya, kriteria lain termasuklah penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan atau syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.
Jelas Hannah, perbelanjaan bagi yuran latihan sukan juga perlu dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian dalam erti kata lain bank-in slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti resit pembayaran.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, sebanyak 9,955 entiti sukan yang berdaftar dibawah Pesuruhjaya Sukan dan dijangka jumlah tersebut akan bertambah kepada 10,000 kerana sebanyak lebih 100 permohonan sedang diproses setiap minggu pada ketika ini, kata Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias dalam sidang media yang sama.
“Kalau ibu bapa mahu menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat latihan berdasarkan sukan (103 jenis sukan diwartakan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 Akta 576) jangan risau sangat kelab, fokus kepada sukan sebab kelab itu akan bertambah,” jelas Suhardi.
Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.
Pelepasan ini kemudian diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah berkata pihak KBS akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) sekiranya insentif ini memerlukan penambaikkan pada masa hadapan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |