KBS arah siasatan segera isu penarikan Danish Irfan
PUTRAJAYA — Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) mendapatkan laporan penuh daripada Olahraga Malaysia (MA) berhubung penarikan atlet pecut negara, Danish Irfan Tamrin daripada skuad olahraga ke Sukan SEA Thailand.
Beliau berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan segera memandangkan ia melibatkan kebajikan atlet serta integriti pengurusan sukan negara.
Menurut Hannah, pihaknya tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal hanya berdasarkan maklumat yang tular di media sosial, sebaliknya siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan laporan di media sosial semata-mata.
“Siasatan sedang dilakukan dan sekiranya terdapat sebarang salah laku, MSN akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penyampaian geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, semalam.
Terdahulu, dakwaan mengenai penarikan Danish Irfan daripada skuad acara 4×100 meter negara menjadi perhatian selepas tular di media sosial, dengan segelintir pihak mendakwa atlet berkenaan dipaksa menulis surat untuk menarik diri, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat sukan.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan setiap keputusan pemilihan atlet mesti dibuat secara profesional dan berasaskan merit, termasuk mengambil kira catatan masa, jarak serta prestasi semasa atlet.
“Saya ingin memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pemilihan atlet dibuat berdasarkan merit.
“Jika tidak, Malaysia sendiri yang akan menanggung kerugian,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengurusan serta pembangunan sukan negara terus diperkukuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








