SUKAN

Katsuhito Kinoshi diumum pengendali baharu Selangor FC

PETALING JAYA – Kelab bola sepak gergasi tempatan, Selangor FC mengumumkan pelantikan jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi untuk membimbing pasukan itu.

Selangor FC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Kinoshi memiliki pengalaman yang luas sebagai jurulatih dan akan menjadi aset penting bagi Red Giants.

“Pengalamannya bekerja dengan Stankovic, van Bronckhorst, dan Akira Nishino telah membentuk falsafah kejurulatihannya yang unik, sekali gus menggabungkan disiplin taktikal dengan permainan serangan yang kreatif sambil menekankan kerjasama pasukan dan ketahanan mental,” katanya.

Pada masa yang sama, Selangor FC berkata, Kinoshi telah menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama dengan skuad berbakat di Selangor FC dan bertekad untuk membentuk pasukan yang teratur dan dinamik dalam setiap perlawanan.

Ujar pasukan yang turut dikenali sebagai ‘Gergasi Merah’ itu, komitmen Kinoshi terhadap pembangunan pemain dan mentaliti kemenangan akan menjadi asas kejayaan pasukan pada musim akan datang.

“Saya berbesar hati untuk menyertai Selangor FC, dan saya teruja untuk bekerjasama dengan pemain berbakat di sini. Bersama-sama, kita akan berusaha untuk membina pasukan yang bukan sahaja kuat dari segi taktikal, tetapi juga dipenuhi dengan semangat dan tekad untuk berjaya,” kata Kinoshi.

Terdahulu, Selangor FC dikejutkan dengan peletakkan jawatan Nidzam Jamil pada bulan lalu menyaksikan penolong jurulatih, Abdi Hassan mengambil alih secara interim.

Sementara itu, aksi menentang Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACLE II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Khamis ini bakal menjadi ujian pertama buat Kinoshi selaku pengendali baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button