JDT terus unggul, lengkapkan hatrik quadruple
KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
JDT yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super bagaimanapun tersentak apabila Sri Pahang yang hadir sebagai pasukan bukan pilihan menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-14 menerusi T Saravanan.
JDT hampir menyamakan kedudukan 11 minit kemudian menerusi jaringan Bergson da Silva, namun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana ofsaid selepas menerima hantaran sepakan percuma Juan Muniz.
Malang menimpa Sri Pahang apabila penyerang import mereka, Sergio Aguero diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, JDT melakukan dua pertukaran apabila Romel Morales dan Iker Martinez dimasukkan untuk menguatkan jentera serangan.
Pertukaran itu membuahkan hasil apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Oscar Aribas dikasari Mohd Azrif Nasrulhaq.
Penyerang sensasi JDT Bergson tenang menyempurnakan penalti tersebut untuk mengikat kedudukan 1-1.
Namun, situasi kembali seimbang apabila JDT turut kehilangan seorang pemain, Park Jun-heong yang dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua tiga minit kemudian.
Meskipun beraksi 10 lawan 10, JDT tetap memperlihatkan keampuhan apabila bintang mereka, Arif Aiman Hanapi muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-74 untuk memastikan Piala Malaysia terus kekal di bumi Johor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






