SUKAN

Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM

KUALA LUMPUR – Mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin secara rasmi dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM selepas Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 yang bersidang pada Isnin sebulat suara meluluskan pelantikan beliau.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, pelantikan itu adalah penghormatan tertinggi buat tokoh yang telah banyak menyumbang dalam pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih tiga dekad.

Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM
Presiden FAM, Datuk Joehari Mohd Ayub bersama Exco FAM

“Hamidin telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memartabatkan bola sepak negara.

“Dengan pengalaman luas beliau di peringkat serantau dan antarabangsa, kita yakin pelantikan ini amat wajar dan tepat pada masanya,” katanya semasa sidang media Kongres Luar Biasa FAM hari ini.

Menurut Joehari, pelantikan itu juga dibuat selaras dengan Artikel 22 Statut FAM yang membolehkan Kongres menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat kepada mana-mana individu yang pernah memegang jawatan Presiden dan telah memberikan sumbangan cemerlang kepada bola sepak negara.

Hamidin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM
Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub

“Sebagai Presiden Kehormat, beliau diberi peranan sebagai penasihat kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap dan Sekretariat Agung FAM.

“Walaupun tidak mempunyai hak mengundi, kehadiran dan pandangan beliau dalam mesyuarat akan menjadi rujukan penting, terutama dalam membentuk dasar dan hala tuju persatuan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut boleh mewakili FAM sebagai duta rasmi dalam pelbagai program dan acara domestik mahupun antarabangsa, termasuk melibatkan hubungan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, beliau juga boleh diberikan tanggungjawab tambahan berdasarkan keperluan semasa dengan persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Untuk rekod, gelaran Presiden Kehormat FAM kali terakhir dianugerahkan kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada tahun 2014 sebagai menghargai kepimpinan baginda yang menerajui FAM selama 30 tahun dari 1984 hingga 2014.

Cadangan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat telah dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketiga bagi penggal 2025–2029 pada 12 Jun lalu, sebelum dibawa dan diluluskan oleh Kongres Luar Biasa FAM hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button