
City menang besar, Guardiola akui masih belum di tahap terbaik
MANCHESTER – Kemenangan 4-1 Manchester City ke atas West Ham United dalam saingan Liga Perdana Inggeris memberi kelegaan buat pengendali pasukan, Pep Guardiola, namun beliau menegaskan skuadnya masih belum mencapai tahap prestasi terbaik.
Perlawanan di Stadium Etihad menyaksikan Erling Haaland meledak dua gol buat kali pertama sejak September dengan Savinho memainkan peranan penting dalam tiga jaringan pasukan.
Kemenangan itu membawa City ke tangga keenam liga, dua mata di belakang Chelsea di tangga keempat.
Namun begitu, Guardiola tidak mahu kemenangan berturut-turut itu yang pertama sejak Oktober, disalah anggap sebagai tanda kebangkitan penuh pasukannya.
“Jika anda lihat keputusan, memang bagus. Tapi daripada segi tahap permainan kami, kami belum berada di tahap sebenar,” katanya selepas perlawanan.
Guardiola turut mengakui permainan mereka menentang Everton sebelum ini lebih baik walaupun perlawanan itu berakhir seri.
“Hari ini ada banyak perkara positif, tetapi jika anda tanya sama ada kami bermain seperti sebelum ini, jawapannya tidak.
Saya gembira dengan kemenangan ini, dan saya akan tidur lebih lena sehingga aksi Piala FA nanti,” tambah beliau.
Dalam perlawanan itu, Kevin De Bruyne mencatatkan bantuan gol ketiganya musim ini, membantu jaringan Phil Foden pada babak kedua.
Sementara itu, Savinho menyerlah apabila membantu kedua-dua gol Haaland selain memaksa jaringan sendiri Vladimir Coufal pada minit ke-10.
City dijadualkan berdepan Salford City dalam aksi Piala FA pada 11 Januari dengan harapan momentum kemenangan itu dapat diteruskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






