
Abdul Rashid dilantik CEO Sekretariat Sukan SEA 2027
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pelantikan Abdul Rashid, 61, yang memiliki pengalaman lebih 37 tahun dalam bidang pengurusan sukan, adalah bagi menerajui sekretariat yang menyelaras semua aspek persiapan temasya dwitahunan itu.
“Beliau sebelum ini telah memainkan peranan penting membantu MASOC dalam aspek pengurusan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017,” jelas kenyataan itu hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 pada 2027, dengan penganjuran turut melibatkan tiga negeri lain iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor yang bersetuju menganjurkan beberapa acara sukan.
Jawatankuasa Pengelola bagi kedua-dua temasya itu telah ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2017, di mana kontinjen negara menamatkan kempen selaku juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Penganjuran edisi 2027 ini merupakan kali ketujuh Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








