
Sukan Komanwel 2026: Keputusan jadi tuan rumah akan diputuskan Kabinet tidak lama lagi
KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 sedang diteliti dan kajian mengenainya akan diserahkan kepada keputusan Kabinet.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya sedang mengkaji pelbagai aspek penganjuran temasya itu termasuk dari sudut kewangan.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada ketika ini sedang menyediakan kertas Kabinet untuk dibentang kepada jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Kajian mengenainya sedang dibuat (KBS) dan kita akan serah semua hasil kepada jemaah menteri untuk dibuat keputusan.
“Ia hampir siap. Saya tidak boleh komen dahulu. Jadi kita kena tunggu sebab ada banyak faktor yang perlu dilihat,” katanya kepada pemberita semalam.
Hannah berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Wanita KBS dan pelancaran video Kod Sukan Selamat di Uniten di sini.
Hak penganjuran Sukan Komanwel 2026 sebelum ini diberikan kepada Australia namun ditolak semula kerana kos penganjuran yang tinggi.
Sementara itu, Hannah ketika diminta mengulas kekecewaan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengenai kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), beliau meletakkan kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Beliau yakin kualiti fasiliti itu akan diperbaiki menjelang perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 pasukan negara menentang Oman pada 26 Mac ini.
Kualiti padang di SNBJ menjadi kontroversi selepas mengalami kerosakan susulan penganjuran beberapa konsert besar oleh artis luar negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |