Subsidi telur ayam tamat berfasa mulai 1 Mei
PUTRAJAYA – Subsidi dan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula 1 Mei ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah kerajaan Madani.
Perkara itu diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini.
“Kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula 1 Mei, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
“Keputusan itu diambil setelah mengambil kira komitmen industri dalam memastikan bekalan telur ayam yang mencukupi dan harga yang stabil, termasuk ketika musim perayaan Aidilfitri yang lalu,” menurut kenyataan tersebut.
Sepanjang tempoh Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi membayar subsidi telur ayam kepada pihak industri.
Tindakan penamatan subsidi itu dibuat kerana pemberian subsidi yang berlarutan dianggap tidak mampan untuk kelangsungan industri serta kedudukan kewangan negara.
“Langkah penyasaran semula subsidi ini juga lebih adil kerana subsidi yang diberikan turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” menurut kenyataan itu lagi.
Penjimatan hasil penamatan subsidi ini akan digunakan semula untuk projek kesejahteraan rakyat yang selaras dengan nilai Madani.
Bagi mengurangkan kesan penamatan subsidi terhadap kos sara hidup, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan beberapa langkah intervensi.
Antaranya termasuklah pengenalan telur gred khas oleh industri pada harga yang munasabah dan mengadakan Jualan Agro Madani serta Jualan Rahmah di seluruh negara untuk bekalan telur pada harga lebih kompetitif.
Selain itu, tindakan pemantauan berterusan oleh KPDN akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan bekalan telur boleh menghubungi KPKM melalui e-mel rasmi di pro@kpkkm.gov.my atau talian hotline 03-8000 8000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








