
Stres calon SPM: Ibu luah rasa simpati, beri ingatan bahaya tekanan akademik berlebihan
KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang pengguna Facebook mengenai tragedi anak menikam ibu hingga maut akibat tekanan melampau dalam pelajaran menyentuh hati netizen dan meraih perhatian ramai.
Dalam status panjang lebar, Ruqayyah Muhd menyuarakan rasa simpati terhadap remaja terlibat, yang dikatakan mengalami tekanan serius untuk mencapai keputusan cemerlang.
“Benar. Semua ibu ayah mahu anak cemerlang. Dapat dibanggakan tapi adakalanya ia sangat membebankan jiwa seorang anak,” tulisnya.
Sebagai ibu kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, beliau turut berkongsi pengalaman peribadi melihat sendiri kesan tekanan akademik terhadap anaknya yang sering meluah rasa stres, tidak cukup rehat dan bimbang akan prestasi akademik.
Menurut Ruqayyah, generasi pelajar yang bakal menduduki SPM tahun ini sememangnya melalui tempoh persekolahan yang mencabar sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Batch SPM 08 ini memang sangat tertekan. Tengah seronok nak habiskan tahun akhir di sekolah rendah bersama kawan-kawan, tiba-tiba terpaksa PDPR dari rumah,” katanya, merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang mengganggu perkembangan sosial dan akademik pelajar.
Beliau turut meluahkan keprihatinan terhadap guru-guru yang turut berkorban masa dan tenaga untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan.
Namun, Ruqayyah menyeru agar semua pihak lebih empati terhadap keadaan anak-anak yang sedang bergelut bukan sahaja dengan silibus, tetapi juga tekanan jiwa.
“It’s okay. Berapa pun dapat tak apa. Yang penting kita usaha setakat mana mampu,” nasihat beliau kepada anaknya.
Katanya lagi, kesihatan mental anak perlu diutamakan berbanding keputusan peperiksaan semata-mata.
Beliau menutup perkongsian dengan peringatan yang cukup mendalam:
“Berhati-hatilah dalam meletakkan harapan. Anak bukan robot tapi seorang manusia yang sedang belajar menjadi seorang insan.”
Hantaran itu berjaya meraih 7,000 reaksi, 516 komen dan 3,000 perkongsian.
Rata-rata netizen bersetuju dan berkongsi pengalaman serupa selain menyeru agar masyarakat lebih cakna terhadap tekanan yang ditanggung oleh pelajar masa kini.
“Ya, semoga anak-anak kita baik-baik saja. Yang pasti kita dan anak-anak dah usahakan yang terbaik. Memang mencabar sungguh tahun ni. Jadual sangat padat,” komen Nurdiana Saad.
“Batch pertama yang tiada UPSR dan PMR. Apabila ada perubahan secara mengejut memang menyebabkan kesan yang sangat tinggi pada emosi,” kata Setah Intai.
“Ketika saya di LP dulu kes salah laku masa exam adalah datang dari anak-anak yang stress nak memenuhi impian ibu ayah nak A. Akhirnya anak bawa nota, bawa telefon masuk dewan,” tulis Siti Haida Isa pula.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |