BERITA SEMASA

STPM 2024 terbaik dalam sejarah, 1,266 calon raih PNGK 4.00

SELAYANG – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional meningkat kepada 2.85 berbanding 2.84 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Dr. Md Amin Md Taff berkata, peningkatan sebanyak 0.01 mata itu merupakan yang tertinggi sejak pelaksanaan STPM dalam format sedia ada.

“Seramai 1,266 calon atau 3.06 peratus berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat seramai 150 orang berbanding tahun 2023.

“Peningkatan juga direkodkan dalam bilangan calon yang mencapai PNGK 3.75, 3.00, 2.75 dan 2.00, sekali gus menunjukkan prestasi keseluruhan calon semakin baik,” katanya dalam sidang media sempena Pengumuman Keputusan STPM 2024 di Ibu Pejabat MPM, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, seramai 53 calon berjaya memperoleh keputusan 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil meningkat berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya.

“Bagi calon yang memperoleh 4A pula, jumlah meningkat daripada 1,087 calon pada 2023 kepada 1,228 calon tahun ini,” katanya lagi.

Daripada keseluruhan 41,434 calon yang menduduki peperiksaan, seramai 41,422 atau 99.97 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2024.

Mengulas lanjut, Md Amin memaklumkan semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan mencatatkan kadar kelulusan penuh melebihi 60 peratus (gred C dan ke atas).

Katanya, empat mata pelajaran iaitu Ekonomi, Kimia, Matematik (M) dan Perakaunan menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus dalam prestasi lulus penuh berbanding tahun sebelumnya.

“Tiada mata pelajaran mencatatkan penurunan melebihi negatif tiga peratus, manakala 19 mata pelajaran lain kekal stabil dengan perubahan kurang daripada tiga peratus,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button