Status Islam agama negeri tak nafi hak penganut lain – WADAH
KOTA KINABALU – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sabah menegaskan penetapan Islam sebagai agama negeri tidak bersifat teokratik atau menafikan kebebasan beragama sebaliknya ia berteraskan prinsip keadilan, maslahat dan kestabilan sosial.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Pengerusinya, Abdul Manap Mahmud berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan namun pada masa sama menjamin agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Menurut beliau, Mahkamah Persekutuan dalam beberapa keputusan turut menegaskan bahawa peruntukan tersebut mempunyai implikasi undang-undang dan bukan sekadar simbolik manakala beberapa negeri lain juga menetapkan Islam sebagai agama negeri tanpa menjejaskan kebebasan beragama.
“Dari sudut perundangan Islam, penetapan Islam sebagai agama negeri tidak bermaksud pemaksaan agama. Ia memberi asas kepada pentadbiran hal ehwal Islam seperti zakat, wakaf, nikah cerai dan pendidikan Islam, selari dengan prinsip menjaga kepentingan agama serta masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap isu tuntutan pemulihan ‘religious safeguards’ di Sabah yang kembali dibangkitkan kebelakangan ini.
Abdul Manap turut menjelaskan, sejarah dan tradisi tamadun Islam menunjukkan masyarakat majmuk bukan sesuatu yang asing dengan Piagam Madinah mengiktiraf serta menjamin hak komuniti bukan Islam untuk mengamalkan agama dan sistem peribadi masing-masing.
Katanya, konsep ‘Ahl Al-Dhimmah’ dalam sejarah Islam juga memperlihatkan perlindungan terhadap kaum minoriti dan masyarakat bukan Islam.
Dalam konteks Malaysia hari ini, beliau menegaskan kebebasan beragama kekal dijamin Perlembagaan, mahkamah sivil terus berbidang kuasa dalam isu melibatkan bukan Islam, manakala Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada orang Islam.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang isu berkaitan agama negeri perlu dinilai berasaskan kerangka Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Menurutnya, persoalan utama yang perlu diteliti ialah sama ada sesuatu dasar itu meningkatkan keadilan, mengurangkan konflik dan memelihara keharmonian sosial.
Katanya, jika terdapat pelaksanaan undang-undang yang menimbulkan ketidakpastian identiti atau kesulitan pentadbiran, pendekatan pembaharuan dan penambahbaikan adalah selari dengan maqasid tanpa perlu menolak kedudukan Islam.
Dalam masa sama, Abdul Manap menegaskan Islam tidak mengiktiraf paksaan dalam agama, merujuk kepada prinsip yang terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 256.
Katanya, pentadbiran Islam yang sah mestilah berasaskan pilihan dan pengakuan individu secara sukarela, tidak menindas komuniti lain serta tertakluk kepada semakan kehakiman.
Sementara itu, WADAH Sabah turut mencadangkan pendekatan jalan tengah, antaranya menegaskan semula komitmen terhadap kebebasan beragama dalam perlembagaan negeri, memperkukuh pemisahan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah, mewujudkan mekanisme perundingan antara agama serta menjamin tiada implikasi automatik terhadap status agama tanpa proses kehakiman yang adil.
“Dialog dan kefahaman terhadap sejarah MA63 perlu dilihat sebagai usaha memperkemaskan perlembagaan, bukan sebagai konflik agama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








