BERITA SEMASA

Starship SpaceX meletup ketika ujian biasa di Texas

TEXAS – Sebuah roket gergasi milik SpaceX, Starship 36, meletup ketika menjalani ujian di kemudahan pelancaran Starbase, Texas, pada semalam.

Memetik laporan The Guardian, pihak berkuasa Daerah Cameron dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, roket berkenaan mengalami kegagalan besar dan meletup sejurus selepas pukul 11 malam waktu tempatan.

Sebuah video yang dikongsi bersama hantaran itu menunjukkan letupan besar berlaku ketika roket masih terpasang pada pelancar, menghasilkan percikan api dan letusan api menjulang tinggi ke udara.

SpaceX dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan, roket itu sedang bersedia untuk menjalani ujian penerbangan ke-10 apabila ia mengalami anomali besar ketika berada di atas tapak ujian di Starbase.

“Zon keselamatan di sekitar lokasi dikekalkan sepanjang operasi dan semua kakitangan berada dalam keadaan selamat serta telah dikenal pasti,” menurut kenyataan syarikat itu.

Tiada bahaya dilaporkan kepada penduduk sekitar dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan tersebut sementara kerja-kerja keselamatan diteruskan.

Letupan itu berlaku ketika ujian api statik rutin dijalankan iaitu sebahagian prosedur sebelum pelancaran di mana penggalak Super Heavy akan diikat ke tanah bagi mengelakkan ia terangkat ketika enjin diuji.

Starbase yang terletak berhampiran sempadan Texas-Mexico merupakan ibu pejabat utama projek angkasa lepas SpaceX.

Dengan ketinggian 123 meter (403 kaki), Starship diiktiraf sebagai roket paling besar dan paling berkuasa di dunia serta menjadi tunjang kepada visi jangka panjang Elon Musk untuk menjelajah Marikh.

Roket itu direka untuk boleh digunakan semula sepenuhnya dan mampu membawa muatan sehingga 150 tan metrik.

Sebelum ini, satu lagi prototaip Starship turut meletup di ruang udara Lautan Hindi pada hujung Mei lalu selepas berlepas dari Starbase pada 27 Mei, apabila penggalak Super Heavy gagal melakukan pendaratan di Teluk Mexico seperti yang dirancang.

Dua ujian terdahulu turut mencatatkan kegagalan apabila peringkat atas roket itu hancur di udara ketika melalui ruang udara Caribbean.

Bagaimanapun, siri kegagalan itu dijangka tidak akan menjejaskan sepenuhnya aspirasi angkasa lepas Musk.

SpaceX masih berpegang kepada pendekatan ‘gagal cepat, belajar cepat’ yang menjadi sebahagian daripada strategi mereka dalam menguasai industri penerbangan angkasa komersial.

Setakat ini, syarikat itu berjaya menangkap penggalak Super Heavy menggunakan lengan robotik gergasi menara pelancar sebanyak tiga kali .

Satu kejayaan kejuruteraan dilihat penting untuk tujuan penggunaan semula dengan cepat dan penjimatan kos.

NASA juga kini semakin bergantung kepada SpaceX termasuk menggunakan kapal angkasa Dragon bagi misi membawa serta membawa pulang angkasawan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Awal Mei lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat telah meluluskan peningkatan bilangan pelancaran tahunan Starship daripada lima kepada 25, dengan menyatakan ia tidak akan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.

Keputusan itu sekaligus menolak bantahan kumpulan pemuliharaan yang sebelum ini memberi amaran bahawa peningkatan pelancaran boleh mengancam habitat penyu laut dan burung pantai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button