Berita SemasaLuar Negara

Starbucks diarah bayar RM236 juta kepada pelanggan melecur akibat tumpahan teh panas

LOS ANGELES – Seorang pemandu penghantaran di sini menerima pampasan sebanyak AS$50 juta (RM236 juta) selepas mengalami kecederaan melecur teruk akibat teh panas yang tertumpah ke atas ribanya pada tahun 2020.

Michael Garcia, 30, yang ketika itu bekerja sebagai penghantar Postmates, melecur pada tahap tiga pada bahagian sulit, paha an pangkal paha selepas teh panas yang diterimanya dari kaunter pandu lalu tertumpah ke atasnya.

Menurut tuntutan saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles, seorang barista dikatakan gagal memastikan penutup minuman itu dipasang dengan betul sebelum meletakkannya dalam pembawa minuman, menyebabkan teh panas itu jatuh ke pangkuan Garcia.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam kedai menunjukkan Garcia mengerang kesakitan sebaik kejadian berlaku.

Peguamnya, Nick Rowley, menyifatkan keputusan juri itu sebagai satu langkah penting dalam memastikan Starbucks bertanggungjawab atas kecuaian yang mengancam keselamatan pelanggan.

“Keputusan ini membuktikan bahawa syarikat perlu lebih prihatin terhadap keselamatan pelanggan dan menerima tanggungjawab atas kesilapan mereka,” katanya.

Sejak kejadian itu, Garcia telah menjalani beberapa pembedahan pemindahan kulit dan mengalami kesan psikologi akibat kecederaan yang dialaminya.

Starbucks dalam satu kenyataan pada Ahad menyatakan simpati terhadap Garcia tetapi berhasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan juri.

“Kami tidak bersetuju dengan keputusan juri yang menyatakan Starbucks bersalah dalam kejadian ini dan kami percaya jumlah pampasan yang diberikan adalah keterlaluan,” kata Pengarah Komunikasi Korporat Starbucks, Jaci Anderson.

Kes ini mengingatkan kepada kejadian serupa pada tahun 1992, apabila seorang wanita berusia 79 tahun, Stella Liebeck, melecur selepas kopi McDonald’s tertumpah ke atasnya, yang membawa kepada pampasan sebanyak AS$2.9 juta (RM13 juta) sebelum dikurangkan kepada AS$500,000 (RM2.37 juta).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button