SSM perkenal aplikasi mudah alih baharu, ganjaran pengguna setia
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan Aplikasi Mudah Alih SSM e-Info versi 3.0 dan memperkenalkan Program Ganjaran e-Info sebagai usaha mempertingkatkan lagi pengalaman pengguna serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan digital dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Raffcomm Technologies Sdn Bhd, En. Ahmad Shahril Ibrahim berkata, aplikasi baharu itu dibangunkan dengan antara muka yang lebih mesra pengguna, kelajuan capaian lebih baik serta navigasi pintar yang memudahkan pencarian maklumat perniagaan secara masa nyata.
Menurutnya, SSM e-Info yang mula dibangunkan pada tahun 2006 kini menjadi antara platform utama rujukan maklumat korporat di negara ini dengan capaian dari pengguna serata dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan paling tinggi dari Itali.

“Ketika mula dibangunkan, kami berdepan pelbagai cabaran seperti tahap keyakinan pengguna yang rendah, teknologi terhad dan kekangan infrastruktur.
“Namun, berkat sokongan dan kerjasama erat dengan SSM serta maklum balas pengguna, SSM e-Info kini menjadi platform penting dalam ekosistem perniagaan negara,” katanya dalam ucapan pelancaran di Hotel Seri Pacific di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, turut diperkenalkan ialah Program Ganjaran e-Info yang memberi mata kepada pengguna bagi setiap transaksi dilakukan dan boleh ditebus untuk diskaun, perkhidmatan premium dan tawaran masa hadapan.
Lebih membanggakan, Raffcomm turut menjadi penyedia perkhidmatan pertama yang berjaya mengintegrasikan dompet digital (e-wallet) ke dalam platform SSM e-Info bagi memudahkan pengguna membuat pembayaran terus tanpa perlu keluar dari aplikasi.
“Dompet digital ini membolehkan pengguna menambah nilai, membuat pembelian dokumen serta memantau semua transaksi secara selamat dalam satu aplikasi.
“Tidak lama lagi, kami juga akan memperkenalkan pulangan tunai dan ganjaran berdasarkan aktiviti dalam dompet,” katanya lagi.
Ahmad Shahril turut menyatakan pihaknya komited untuk terus mempertingkatkan platform itu menerusi ciri carian berasaskan kecerdasan buatan (AI), penawaran API untuk rakan teknologi kewangan dan kawal selia (fintech dan regtech), serta pengukuhan keselamatan melalui tandatangan dan sijil digital.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SSM, para pengguna, pelanggan korporat serta pasukan kerja Raffcomm atas kerjasama dan sokongan yang berterusan.
“Hari ini bukan sekadar pelancaran produk baharu, tetapi juga tanda komitmen kami untuk terus memberikan perkhidmatan yang cekap, dipercayai dan inovatif kepada semua pengguna,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Khuzairi Yahaya; Pengerusi Eksekutif Raffcomm Technologies Sdn Bhd, Datuk Md Afendi Hamdan dan Pengerusi Glocal Link (M) Sdn Bhd, Datuk Dr Ibrahim Yahya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






