Berita Semasa

Sri Pahang, Kedah FC dijangka ucap selamat tinggal pada Liga Malaysia musim depan

KUALA LUMPUR – Dua kelab bersejarah, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC dijangka tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim depan.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mendedahkan berita mengejutkan itu dalam sesi soal jawab bersama penyokong JDT di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, malam tadi.

“Saya sedih berkenaan satu benda, satu saya rasa insya-Allah bersyukur kalau menang (kalau menang dalam final Piala Malaysia menentang Sri Pahang) yang ke-30 tetapi saya juga terpaksa cakap selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya Raja Muda, pasukan legenda yang banyak sejarah macam Pahang kerana tahun depan Pahang tak ada lagi, bubar terus.

“Pasal ada masalah dalam Pahang, jadi benda ini berita sedih. Macam Kedah adalah pasukan yang bersejarah pun tak ada juga tahun depan. Salah siapa? Ini semua kerana isu kelemahan pengurusan dalaman.

“Apabila ada RM10 juta tapi belanja RM15 juta, jadi saya sedih mereka tak ada lagi. Saya harap mereka akan mencari jalan untuk selesaikan masalah tersebut, atau ada hutang ke apa ke.

“Tapi inilah masalah terbesar orang di Malaysia apabila meletakkan orang yang tidak ada minat dan pengetahuan dalam bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu baginda memuji pasukan seperti Selangor FC, Terengganu FC, Kuching City FC, PDRM FC dan Penang FC yang semakin menunjukkan perkembangan positif dalam liga.

“Malaysia perlukan lebih lagi pasukan macam JDT, Selangor dan Terengganu, saya cakap terus terang.

“Macam contoh saya bagi kredit kepada Kuching City. Pasukan kecil, bajet tak besar, gaji tak sangkut. Saya dengar, mereka kata nak buat pusat latihan, jadi saya bagi kredit kepada Kuching.

“Juga kredit kepada pasukan seperti PDRM FC di mana mereka gunakan sebaiknya apa yang mereka ada. Penang pun sama saya bagi kredit kepada Penang.

“Tapi yang lain-lain bukan ada di situ disebabkan pengetahuan dalam bola sepak atau pun minat terhadap bola sepak, tapi disebabkan hal-hal lain,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button