BERITA SEMASA

SPRM sita aset bernilai RM32 juta milik Tan Sri pemegang konsesi lebuh raya

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai RM32 juta yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan berkaitan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, aset berkenaan termasuk barangan mewah seperti jam tangan, tas tangan, barang kemas, kenderaan, wang tunai dan sebuah kediaman eksklusif yang disita hasil penggeledahan di dua kediaman milik individu terbabit di ibu negara, semalam.

“Hasil serbuan, SPRM merampas 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM5 juta, 27 unit tas tangan bernilai lebih RM1 juta dan barang kemas dianggarkan melebihi RM4 juta,” katanya.

Turut disita ialah sembilan buah kenderaan mewah termasuk Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover dengan nilai hampir RM7 juta.

Sumber turut memaklumkan, SPRM menemui sebuah stor menyimpan pelbagai minuman alkohol mewah di salah sebuah kediaman, yang dianggarkan bernilai RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Selain itu, SPRM turut menyita sebuah unit kediaman mewah di ibu negara yang dianggarkan bernilai RM12 juta, dipercayai milik individu sama,” katanya.

Kesemua rampasan tersebut disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button