BERITA SEMASA

SPRM siasat aset RM2 bilion milik Tun Daim, termasuk pemilikan luar negara tidak diisytihar

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat menyiasat pemilikan harta bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dianggarkan melebihi RM2 bilion termasuk aset yang dipercayai tidak diisytiharkan di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah membekukan aset terbabit dan bercadang untuk melaksanakan tindakan melucut hak ke atas harta berkenaan, meskipun Allahyarham telah meninggal dunia pada tahun lalu.

“Walaupun beliau sudah tiada, kita sedang menuju ke arah itu (melucutkan hak kepada kerajaan) dan melihat kepada aset-aset yang tidak pernah diisytiharkan sebelum ini.

“Namun, ia tertakluk kepada persetujuan Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut Azam, siasatan telah dimulakan sejak Februari 2023 dan sehingga kini, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar negara.

Allahyarham Tun Daim

Maklumat tersebut merangkumi pemilikan aset Allahyarham, keluarganya dan individu proksi, termasuk di negara-negara seperti Switzerland dan United Kingdom.

“Sekiranya aset-aset ini benar tidak diisytiharkan, ia merupakan satu kesalahan di bawah akta kami.

“SPRM kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa asing melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance) bagi mendapatkan bukti lanjut,” jelasnya.

Tambah beliau, pegawai penyiasat telah diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikan siasatan ke atas kesemua kertas siasatan tersebut, termasuk memanggil saksi dan meneliti sama ada aset diperoleh secara tidak sah.

“Kita ingin memastikan sama ada aset ini diperoleh dengan cara yang betul atau sebaliknya, termasuk harta yang disalurkan melalui proksi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button