BERITA SEMASADALAM NEGERI

SPRM perkukuh komunikasi melalui kursus jurucakap

BANGI – Sebanyak 27 Pengarah Bahagian dan Negeri Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai Kursus Jurucakap Berkesan: Seni Komunikasi Untuk Pengarah SPRM anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dan Malaysian Press Institute (MPI), baru-baru ini.

Kursus tiga hari yang berlangsung di Bangi Resort Hotel itu bertujuan memperkukuh keupayaan komunikasi para pengarah SPRM dalam mendepani cabaran komunikasi masa kini, khususnya apabila berhadapan dengan media dan masyarakat awam.

Menurut Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohd Hafaz Nazar, kursus itu dirangka secara khusus untuk memperkasa pengarah-pengarah sebagai jurucakap yang efektif, profesional dan bersedia dalam menyampaikan maklumat organisasi.

“Sebagai pemimpin tertinggi di peringkat bahagian dan negeri, para pengarah bukan sahaja mengemudi operasi, malah memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej SPRM kepada umum.

“Justeru, komunikasi yang tepat dan yakin amatlah kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan keperluan agar para pengarah bersedia untuk berurusan secara langsung dengan media tanpa terlalu bergantung kepada BKS, sekali gus melancarkan tindak balas komunikasi dalam pelbagai situasi.

“Pendekatan ini dapat memperkukuh imej profesionalisme SPRM serta meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan ketelusan suruhanjaya,” tambahnya.

Kursus tersebut menampilkan bekas personaliti TV3, Nizal Mohammad yang membimbing sesi seperti Membina Personaliti Dinamik Seorang Jurucakap dan Penguasaan Elemen 3V dalam Komunikasi, manakala penyampai dan penerbit Astro AWANI, Luqman Hariz mengetuai sesi praktikal termasuk simulasi temubual, sidang media dan rakaman podcast.

Kehadiran kedua-dua tokoh media berpengalaman itu memberikan dimensi pembelajaran yang lebih menyeluruh dan praktikal kepada para peserta.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail; serta Pengarah BKS SPRM, P/PKPj Hisyam Mohd Yusoff.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button