
SPM : 44 pelajar cemerlang dengan A+ semua matapelajaran
KUALA LUMPUR – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila 44 orang memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.
Pencapaian itu merupakan peningkatan ketara berbanding 34 orang pada tahun 2022.
Bilangan calon yang memperoleh semua A (A+, A dan A-) pula adalah seramai 1,100 orang berbanding 1,006 orang pada tahun sebelumnya.
MRSM dalam kenyataannya berkata, seramai 7,981 calon daripada 55 buah institusi pendidikan itu di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu.
Keputusan SPM 2023 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.400 dengan 100% calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.
Lapan buah MRSM terbaik ialah MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Taiping, MRSM Kepala Batas, MRSM Johor Bahru, MRSM Pasir Tumboh, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Alor Gajah dan MRSM Pengkalan Chepa dengan GPM kurang daripada 2.0.
Sebanyak 31 buah MRSM berjaya mencapai sasaran Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan memperoleh GPM kurang daripada 2.50.
Tiga (3) buah MRSM berjaya mencapai sasaran GPM yang ditetapkan mengikut program iaitu MRSM Tun Ghafar Baba yang mencapai sasaran program Bitara kurang daripada 1.50, MRSM Kepala Batas bagi program Ulul Albab mencapai GPM kurang daripada 1.80 dan MRSM Pasir Tumboh bagi program Premier kurang daripada 2.00.
Terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Bagi subjek Bahasa Inggeris sebanyak 53 buah MRSM berjaya mencapai KPI BPM dengan lebih daripada 81% pelajar memperoleh Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+ dan ke atas).
MRSM Kepala Batas, MRSM Gemencheh dan MRSM Pasir Salak mencatatkan keputusan 100% A (A+, A dan A-) bagi subjek Matematik manakala 9 buah MRSM mencatatkan keputusan 100% A (A+, A dan A-) bagi subjek Pendidikan Moral.
Selain itu, subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan juga menunjukkan peningkatan GPS. MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100% A bagi subjek Bahasa Arab.
Di samping itu, pencapaian subjek STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
“Berbekalkan kekuatan mental, fizikal, emosi dan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada pelbagai pihak, calon peperiksaan SPM 2023 telah menduduki peperiksaan dengan jayanya.
“Komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua warga guru memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2023,” kata MRSM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |