SPM 2024: MRSM catat peningkatan Gred Purata – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Gred Purata (GP) Keseluruhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun sebelumnya.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 10 MRSM mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50, berbanding hanya satu MRSM dengan pencapaian berkenaan tahun lepas.
Beliau berkata, sebanyak 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00, berbanding sembilan MRSM dengan pencapaian berkenaan pada tahun lalu.
“Seramai 1670 daripada 7650 pelajar MRSM iaitu 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+,A dan A-). Peningkatan berbanding 1131 pelajar pada SPM 2023.
“Seramai 69 orang pelajar telah mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh keputusan semua A+ (10A+ dan 9A+) dalam semua subjek yang diambil.
“Selain itu, seramai lapan pelajar memperoleh 10A+ manakala 61 pelajar memperoleh 9A+. Peningkatan dicatatkan berbanding 50 pada tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, semua subjek Teras dan Elektif yang diambil oleh calon MRSM menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) kecuali subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal.
“InsyaAllah MARA akan terus memperkasakan lagi kualiti dan pencapaian akademik semua MRSM, tanpa sesekali meninggalkan aspek-aspek pembangunan insan yang lain termasuk matlamat melahirkan generasi Ulul-Albab yang cemerlang jasmani, emosi,rohani dan intelek,” ujarnya.
Asyraf turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua guru-guru, barisan pentadbiran dan pelajar 57 MRSM yang mencatatkan keputusan yang amat memberangsangkan dalam SPM 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






