
SPM 2024: Faktor ekonomi, masalah keluarga, dan kesihatan penyumbang utama ketidakhadiran duduki peperiksaan
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti faktor ekonomi, masalah keluarga, dan kesihatan menjadi antara penyumbang utama kepada ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, 57.8 peratus daripada calon yang tidak hadir didapati sudah bekerja dan berada di luar kawasan tempat tinggal mereka.
“Sebahagian besar daripada mereka sudah bekerja dan berada di luar kawasan masing-masing.
“Ini termasuk yang terpaksa bekerja atas tuntutan ekonomi keluarga serta tarikan gaya hidup,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan SPM 2024 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini hari ini.
Azman kemudian berkata, 37.5 peratus daripada calon yang tidak hadir menghadapi pelbagai isu kekeluargaan, manakala 4.7 peratus pula mengalami masalah kesihatan dan selebihnya disebabkan oleh faktor-faktor lain.
“Kalau boleh, memang kita mahu semua calon hadir dan menduduki peperiksaan. KPM sentiasa komited melaksanakan pelbagai program intervensi bagi memastikan pelajar kekal berada di sekolah dan mengambil peperiksaan SPM,” katanya.
Bagi SPM 2024, seramai 6,246 calon sekolah KPM (1.8 peratus) didapati tidak hadir peperiksaan berbanding 8,676 calon (2.5 peratus) pada 2023.
Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 2,430 calon (0.7 peratus).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |