SPM 2024: Asyraf bangga pencapaian MRSM memberangsangkan
PUTRAJAYA – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menyaksikan pencapaian luar biasa oleh semua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dengan Gred Purata (GP) Keseluruhan meningkat ketara kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun lalu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan video di Facebook beliau merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga guru, barisan pentadbiran serta pelajar-pelajar MRSM atas pencapaian yang disifatkannya sebagai amat membanggakan dan hasil daripada komitmen padu semua pihak.
“Alhamdulillah, ini merupakan peningkatan yang amat ketara dan menunjukkan betapa pendidikan di MRSM sentiasa diperkasa dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 10 MRSM mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 berbanding hanya satu MRSM pada tahun lalu.
Malah, sebanyak 31 buah MRSM berjaya merekodkan GP di bawah 2.00 berbanding hanya sembilan pada tahun 2023.
Daripada keseluruhan 7,650 calon MRSM, seramai 1,670 pelajar atau 21.83 peratus memperoleh semua gred A (A+, A dan A-), meningkat berbanding 1,131 pelajar pada tahun sebelumnya.
“Lebih membanggakan, seramai 69 orang pelajar mencatatkan keputusan semua A+ dalam semua subjek yang diambil, dengan lapan daripadanya memperoleh 10A+ dan 61 pelajar memperoleh 9A+.
“Ini juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding 50 pelajar pada tahun lepas,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau yang menunjukkan peningkatan Gred Purata tertinggi, masing-masing dengan lonjakan sebanyak 1.408 dan 1.171.
Dr. Asyraf juga memaklumkan semua subjek teras dan elektif yang diambil oleh calon MRSM menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Subjek (GPS), kecuali bagi subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal.
“MARA akan terus memperkasakan lagi kualiti dan pencapaian akademik semua MRSM tanpa sesekali mengabaikan aspek pembangunan insan lain.
“Usaha melahirkan generasi Ulul-Albab yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan terus menjadi teras perjuangan kami,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






