Sosej, nugget antara makanan dilarang jual di sekolah
PUTRAJAYA – Sosej, nugget, bebola ikan dan beberapa lagi makanan berproses tidak lagi dibenarkan dijual di kantin sekolah seperti mana arahan larangan 12 jenis makanan dan minuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Langkah itu, menurut KPM, bertujuan memastikan murid mengamalkan gaya hidup sihat, memperoleh tumbesaran terbaik tanpa dipengaruhi pengambilan makanan tidak berkhasiat dan mencegah risiko kesihatan di peringkat awal.
“Menurut Peraturan Makanan 1985, makanan yang melepasi tarikh luput serta makanan berbentuk permainan tidak dibenarkan dijual bagi mengelak bahaya kepada keselamatan makanan.
“Selain itu, makanan diproses seperti kentang goreng, sosej, nugget, lok cheng serta bebola ikan, ayam dan daging turut dilarang kerana lebih menggalakkan pengambilan makanan ringan berbanding sumber protein berkhasiat,” jelas kenyataan itu menerusi perkongsian di Instagram rasmi KPM semalam.
Turut disenaraikan dalam kategori larangan ialah makanan ringan seperti gula-gula, coklat, jeruk, makanan berkrim atau bersalut gula.
Selain itu, produk segera dalam paket bersama perencah seperti mi, bihun, ramen, kuew teau, bubur nasi dan sup segera juga tidak dibenarkan kerana boleh menjejaskan tumbesaran murid.
“Produk konfeksi ais dan aiskrim pula hanya boleh dijual sekiranya mematuhi keperluan serta piawaian makanan yang ditetapkan KPM dan KKM,” katanya.
Bagi kategori minuman, teh dan kopi hanya dibenarkan untuk guru, manakala murid tidak dibenarkan mengambil minuman campuran manis seperti kordial, krimer, serbuk 3 dalam 1, minuman tenaga termasuk isotonik, herba serta berkarbonat kerana kandungan gula yang tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






