BERITA SEMASA

MAPIM serah memorandum kecam Amerika, bantah keganasan terhadap Iran, Gaza

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini sebagai simbol penolakan keras terhadap tindakan ketenteraan ke atas Iran dan kekejaman berterusan rejim Zionis di Gaza.

Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan aman yang diadakan itu bertujuan menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap peranan Amerika Syarikat yang didakwa bersubahat dalam penindasan umat Islam di rantau Asia Barat.

“Perhimpunan hari ini adalah untuk menyatakan sikap kita. Ia merupakan bantahan keras terhadap peperangan yang dipaksa ke atas Iran, dalam keadaan keganasan Israel di Gaza masih berlarutan.

“Kita dapat lihat dengan jelas wujudnya konspirasi terbuka antara Israel, Amerika dan sekutunya. Ia berlaku secara terang-terangan dan disaksikan dunia,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum.

Menurut beliau, tindakan itu juga selaras dengan kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini menyifatkan tindakan Israel sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.

Mohd Azmi berkata, memorandum yang diserahkan kepada wakil kedutaan turut disokong lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik, ulama dan pengamal media yang bersama-sama memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

“Kita mahu rakyat Malaysia memahami bahawa isu Iran bukan soal mazhab, bukan soal Sunni atau Syiah.

“Ia soal mempertahankan hak, soal kemanusiaan yang perlu dibela tanpa mengira latar belakang.

“Kita juga ingin memberi peringatan agar rakyat tidak memberi ruang kepada musuh yang cuba memecah-belahkan umat Islam dari dalam,” katanya lagi.

Beliau turut mengecam pentadbiran Presiden Amerika, Donald Trump yang disifatkan bersekongkol dalam tindakan zalim terhadap rakyat Palestin dan Iran.

“Amerika membiarkan Israel melakukan jenayah kemanusiaan tanpa sebarang sekatan. Maka mereka juga tidak terlepas daripada tanggungjawab sebagai penjenayah bersama,” katanya lagi.

Antara tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum tersebut termasuk mendesak Amerika menghentikan semua bentuk sokongan dan bantuan kepada Israel serta memaksa rejim itu mematuhi undang-undang antarabangsa.

Mohd Azmi berkata, tindakan Iran dalam menghadapi serangan adalah bentuk mempertahankan diri yang sah, tidak seperti Israel yang sering menyalahgunakan istilah itu untuk mewajarkan pencerobohan.

Beliau turut menggesa Amerika agar tidak lagi menyalahgunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghalang tindakan antarabangsa terhadap Israel.

“Kita mahu tentera pengaman dihantar ke Gaza dan bantuan kemanusiaan disalurkan segera bagi menamatkan kepungan serta penderitaan rakyat Palestin,” katanya lagi.

Perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan aman dan berakhir dengan serahan memorandum kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, bersama wakil-wakil NGO yang menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin dan Iran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button