BERITA SEMASA

Skim Lindung 24/7 lulus, kerajaan komited lindungi 9.6 juta pekerja

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang memperkenalkan Skim Lindung 24/7 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus membuka fasa baharu dalam perlindungan sosial negara.

Steveb Sim
Steven Sim

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pindaan terhadap Akta 4 itu memberi perlindungan kemalangan menyeluruh tanpa mengira waktu bekerja, selaras dengan perubahan corak kerja semasa yang semakin mengutamakan kerja hibrid dan aturan kerja anjal.

“Skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta pencarum aktif sektor formal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Skim Lindung 24/7 lulus, kerajaan komited lindungi 9.6 juta pekerja
Skim Lindung 24/7 lulus, kerajaan komited lindungi 9.6 juta pekerja

Melalui skim baharu itu, pekerja tidak lagi perlu membuktikan bahawa kemalangan berlaku dalam waktu kerja untuk layak membuat tuntutan.

Pindaan itu juga menyelesaikan isu 12,306 tuntutan yang ditolak dari 2023 hingga Oktober 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.

Steven berkata, perlindungan yang ditawarkan meliputi pelbagai faedah termasuk faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, serta kemudahan pemulihan dan pinjaman pendidikan.

“Pelaksanaan Skim Lindung 24/7 menetapkan standard baharu perlindungan sosial negara, lebih seiring dengan amalan negara maju,” katanya lagi.

Beliau berkata, perubahan corak kerja hari ini menyebabkan garis antara waktu kerja dan kehidupan seharian menjadi semakin kabur, namun hanya 42 peratus pekerja yang mempunyai perlindungan kemalangan peribadi atau takaful.

“Sebab itulah kerajaan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 bagi memastikan pekerja terus dilindungi walaupun kemalangan berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkait langsung dengan tugas mereka,” katanya lagi.

KESUMA menegaskan skim itu akan dipantau secara rapi bagi memastikan keberkesanan, ketelusan serta penyampaian manfaat yang cepat dan adil selepas pelaksanaannya kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button