BERITA SEMASALUAR NEGARA

Skandal rasuah minyak sawit terbongkar, RM3.6 bilion dirampas

JAKARTA – Pihak Pendakwa Raya Indonesia (AGO) merampas wang tunai berjumlah 11.88 trilion rupiah (kira-kira RM3.6 bilion) daripada lima anak syarikat gergasi Wilmar Group berpangkalan di Singapura, susulan skandal penyalahgunaan permit eksport minyak sawit mentah (CPO) dipercayai dilakukan ketika krisis minyak masak negara itu pada 2022.

Pengarah Pendakwaan Unit Jenayah Khas (AGO) Sutikno, syarikat terlibat ialah Multimas Nabati Asahan, Multi Nabati Sulawesi, Sinar Alam Permai, Wilmar Bioenergi Indonesia dan Wilmar Nabati Indonesia.

Katanya, kesemua syarikat terbabit sudah menyerahkan wang tersebut sebagai ganti rugi atas kerugian kewangan negara akibat eksport sawit tanpa permit sah sepanjang tempoh larangan berkuat kuasa.

“Kes ini berkait dengan penyalahgunaan permit eksport semasa larangan sawit pada 2022, ketika negara dilanda krisis minyak masak.

“Syarikat ini didakwa mengaut keuntungan secara haram dalam tempoh itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Jenayah Khas AGO di Jakarta, dipetik Harian Metro hari ini.

Pada sidang media itu, wang tunai berjumlah 2 trilion rupiah (kira-kira RM606 juta) dipamerkan di atas meja dalam bentuk ikatan wang yang hampir memenuhi ruang bilik.

Walaupun rampasan mencecah 11.88 trilion rupiah, Mahkamah Rasuah Jakarta pada 19 Mac lalu membebaskan kelima-lima syarikat daripada sebarang pertuduhan jenayah, keputusan yang mencetuskan kontroversi dan kritikan awam.

AGO kini memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung Indonesia.

Audit bersama yang dijalankan Agensi Audit Kewangan dan Pembangunan (BPKP) dan Universiti Gadjah Mada mendapati, kerugian negara berjumlah sama — membabitkan kerosakan langsung serta kesan ekonomi lebih luas.

Wang rampasan kini disimpan dalam akaun escrow di Bank Mandiri dan dikawal selia Unit Jenayah Khas AGO.

Hakim Didakwa Terima Rasuah

Dalam perkembangan berkaitan, tiga orang hakim Mahkamah Rasuah iaitu Agam Syarif Baharuddin, Ali Muhtarom dan Djuyamto turut ditahan selepas disyaki menerima rasuah daripada peguam syarikat, Ariyanto, bagi menggugurkan sabitan ke atas syarikat terlibat termasuk Wilmar, Permata Hijau dan Musim Mas Group.

Dalam penghakiman 19 Mac, Mahkamah menyatakan syarikat terbabit bersalah mengeksport sawit tanpa permit, namun memutuskan perbuatan itu bukan jenayah, sekali gus menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap entiti terbabit.

Sebelum ini, pihak pendakwa raya menuntut:

11.8 trilion rupiah (RM3.58 bilion) daripada Wilmar

4.8 trilion rupiah (RM1.45 bilion) daripada Musim Mas Group

937 bilion rupiah (RM284 juta) daripada Permata Hijau

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerugian kerajaan Indonesia mencecah 18.3 trilion rupiah (kira-kira RM5.55 bilion), termasuk subsidi minyak masak yang ditanggung kerajaan sepanjang krisis tahun 2022.

Skandal itu memberi tamparan hebat terhadap integriti sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang Indonesia, serta menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dalam urusan korporat dan keadilan perundangan di negara tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button