Situasi banjir semakin memburuk di Kelantan
PUTRAJAYA – Situasi banjir di Kelantan semakin memburuk apabila angka mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) menunjukkan peningkatan mendadak.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 32,942 penduduk daripada 9,921 keluarga telah dipindahkan ke PPS setakat pukul 11 pagi tadi.
Untuk rekod, seramai 21,568 penduduk direkodkan berlindung di PPS setakat pukul 8 malam tadi.
Jajahan Pasir Mas merekodkan pemindahan tertinggi, dengan 12,461 penduduk daripada 3,985 keluarga kini ditempatkan di 43 PPS; diikuti Kuala Krai iaitu seramai 3,532 mangsa daripada 1,019 keluarga yang ditempatkan di 28 PPS.
Sementara itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberitahu, pihaknya sudah menghentikan bekalan elektrik daripada 14 pencawangnya bermula pukul 1 pagi tadi susulan keadaan banjir yang semakin membimbangkan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.
Langkah ini, katanya, adalah demi keselamatan pengguna setempat.
“Setakat ini kawasan yang terlibat di Kota Bharu adalah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok, Taman Sri Kulim, Pusat Usahawan Melor,Taman Jaza dan Perumahan Hutan Pasir,” menurut TNB.
Selain itu kawasan Pasir Puteh yang ditutup bekalan melibatkan DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.
Bagi Tanah Merah kawasan yang terlibat adalah Manal 1 dan 3, Manal Baru dan Kilang Kayu Manal sementara di Machang membabitkan Kampung Tandak, Machang Indah, Limau Hantu, Taman Sri Kelaweh, Taman Setia Kasih, LPT Tok Coba dan Wakaf Indah.
Penutupan bekalan elektrik di Pasir Mas pula melibatkan kawasan Prima Lubok Jong 1-3, Taman Desa Wirajaya 1-3, Kusar, Danau dan Serendah manakala di Bachok membabitkan Wakaf Aik serta Taman Warisan di Kuala Krai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






