
Situasi banjir di Terengganu pulih sepenuhnya
KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di negeri ini pulih sepenuhnya dengan penutupan dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir, pagi ini.
Dua PPS tersebut, iaitu Dewan Terbuka Kampung Belaoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Besut ditutup setelah semua mangsa yang berlindung di pusat itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS Dewan Terbuka Kampung Belaoh yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga dan PPS SK Kampung La (sembilan keluarga membabitkan 32 mangsa) ditutup pukul 9 pagi tadi.
Banjir gelombang ketiga melanda tiga daerah, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman menyebabkan seramai 673 orang daripada 182 keluarga dipindahkan.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 PPS dibuka sepanjang tempoh tiga hari daerah terbabit dilanda banjir.
Ia membabitkan 12 di Hulu Terengganu, Besut (lima) dan satu di Kemaman.
Banjir berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan beberapa kampung berhampiran sungai dan yang berada di kawasan rendah dinaiki air.
Hulu Terengganu paling tinggi merekodkan mangsa yang dipindahkan iaitu 424 mangsa daripada 114 keluarga diikuti Besut (238 mangsa, 63 keluarga) dan Kemaman, satu keluarga membabitkan 11 mangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |